Wednesday, February 28, 2007

Udang galah air tawar


Red Claw ( cherax quadricarinatus)

Lobster Air Tawar Red Claw (Cherax quardricarinatus) disebut sepit merah kerana ada jalur merah dibahagian luar sepit jantannya. Red Claw merupakan salah satu spesies yang hidup di habitat alam seperti sungai, rawa, atau danau di daerah Queensland, Australia.
Lobster ini mempunyai ciri-ciri dengan warna kebiru-biruan pada badannya dengan terdapat corak merah seperti batik. Selain itu pada kepala lobster tersebut (karapas) terdapat rostrum yang mempunyai empat ruas sehingga di sebut quadricarinatus.
Redclaw memiliki beberapa kelebihan untuk diternakkan, baik secara fizik, biologi dan komersial. Spesies ini dapat hidup daerah aslinya, cara hidup yang sederhana dan sepenuhnya berada di air tawar, serta teknik pembiakan yang mudah, benih yang tidak sukar diperolehi, sehingga memiliki nilai ekonomi untuk diternakkan

Friday, February 09, 2007

Kerajaan perkenalkan projek akuakultur ala Felda

Petikan daripada Utusan Malaysia

Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi projek pertanian berimpak tinggi iaitu projek akuakultur ala Felda bagi menjana pengeluaran ikan negara sekali gus mengeluarkan peserta daripada kepompong kemiskinan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek perintis itu akan dilaksanakan pada tahun ini di Pekan, Pahang di atas tanah berkeluasan kira-kira 200 hektar.

Beliau berkata, projek tersebut akan menjadikan sistem Felda sebagai panduan iaitu setiap peserta yang terpilih dikehendaki tinggal berhampiran kawasan projek bagi memudahkan mereka mengusahakan kolam ikan secara terancang dan sistematik.

‘‘Felda telah menunjukkan kejayaannya dan tidak salah kita mengikut kaedah mereka untuk projek ini. Walaupun projek kita ini sesuatu yang baru, saya yakin ia boleh dilaksanakan.

‘‘Apa yang penting ialah semangat daripada peserta dan komitmen daripada semua pihak supaya projek berkenaan benar-benar memberi kesan kepada industri perikanan di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Menteri Pertanian Sabah, Sarawak dan Exco Pertanian negeri di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, projek perintis tersebut adalah sebahagian daripada projek Pembangunan Zon Industri Akuakultur yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Terengganu pada 30 Januari lalu.

Ketika ditanya mengenai konsep pelaksanaan projek akuakultur itu, beliau berkata, sebuah syarikat swasta akan dipilih untuk menjadi penaja projek terbabit.

Katanya, kerajaan pula akan menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik selain memilih peserta.

Malah, beliau berkata, pihak Jabatan Pertanian dan Jabatan Alam Sekitar akan sentiasa bekerjasama memastikan kualiti air kolam sentiasa dipelihara bagi mengelakkan berlakunya kematian ikan.

‘‘Berdasarkan perancangan kita, sebahagian tanah projek ini diserahkan kepada syarikat swasta berkenaan dan sebahagian lagi diserahkan kepada peserta.

‘‘Pihak syarikat akan memantau sepenuhnya perjalanan projek sambil dipantau oleh pihak kerajaan. Sudah ada beberapa syarikat yang menunjukkan minat untuk memajukan projek tersebut,’’ ujarnya.

Mengenai peserta, beliau berkata, jumlahnya belum ditentukan lagi tetapi keutamaan akan diberikan kepada rakyat miskin seperti peserta Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

‘‘Keseluruhan projek juga kita masih belum putuskan dan begitu juga dengan cadangan membina rumah untuk peserta sama ada ia ditanggung oleh kerajaan atau syarikat,’’ katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kos keseluruhan projek akuakultur untuk empat tahun akan datang adalah kira-kira RM260 juta manakala kos pelaburan pihak swasta kira-kira RM1.8 bilion.

‘‘Secara keseluruhannya, jumlah tanah yang berpotensi dimajukan untuk bidang ini adalah sebanyak 300,000 hektar tetapi untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kita hanya perlukan 38,000 hektar sahaja,’’ tambahnya